Ramai kawan-kawan sedang mengandung atau baru dapat baby. Tahniah semua. Kami pun bakal dapat anak buah tahun ini :).
Minggu lepas pula baru bersembang dengan kawan sekerja yang dah 4 tahun berkahwin tapi belum dapat baby lagi. Suaminya merokok, dia pula takut nak pergi periksa (kelakar- tapi kerja doktor). Ramai juga kawan saya yang doktor belum mengandung lagi. Adakah terlalu stress? hmmm...
Ada seorang pula sedang mengandung anak kembar- hasil prosedur IVF. Baru saja dia tunjukkan gambar 3D anak-anak dalam kandungannya. Seorang muka ibu dan seorang muka ayahnya. Saya tengok, eh betul juga, memang ada iras. Semoga semuanya berjalan lancar. Saya kalau tengah scan baby nampak dia gerak-gerak dalam perut ibunya mesti teringat cerita Dang Anum yang mengidam makan nangka tu. Kalau ada scan dulu mesti tak kena belah perut dia.
Hari tu on call di labour room. Macam-macam pulak jadinya.
Seorang remaja 14 tahun datang kerana sudah sakit nak bersalin. Ini realiti sekarang. Ramai remaja mengandung. Di daerah kecil ini setiap minggu akan ada remaja yang datang untuk bersalin. Remaja yang belum berkahwin. Kalau remaja tapi dah kahwin tak ada masalah. MasyaAllah. Kelam kabut semua orang dibuatnya. Sebabnya kandungan pertama tak dibenarkan bersalin di sini kerana banyak risiko dan tiada pakar perbidanan / kemudahan caesarian section disini. Tapi bila dah datang hampir nak bersalin terpaksa benarkan bersalin di sini kerana takut pula kalau bersalin dalam ambulans. Lagi naya.
Nak ditambah drama bila air ketuban dipecahkan baby pula sudah berak dalam rahim ibu. Maknanya baby sedang berenang dalam air najis. Terpaksa pula panggil seorang lagi doktor untuk standby baby kerana saat baby keluar saja mesti terus sedut saluran trakea supaya najis tak masuk paru-paru. Masa tu pukul 3 pagi. Doktor seorang lagi datang sambil kesat mata, hehe. Cukup drama? Belum. Bila kepala dah keluar bahu pula sangkut! Ya Allah.. kes bahu sangkut ni lah yang banyak ke mahkamah. One case is enough to ruin your career. Kami semua tak putus-putus membaca ayat Nabi Yunus.
Akhirnya baby keluar juga. Mula-mula biru tetapi setelah resusitasi dia OK. Ibu remaja pula koyak banyak. Babynya 3.7 kg, mana tak susah nak keluarkan. Semoga semua dosanya terhapus, bersih seperti bayinya dan semoga anak lelaki itu menjadi asetnya ke syurga.
Malam yang sama tapi belum dapat tidur lagi. Seorang wanita datang kerana jantungnya berdebar laju tetapi rupa-rupanya dia sudah sakit nak bersalin. Pelik kan? Yang lebih pelik ialah dia langsung tak tahu yang dia mengandung kerana sedang menyusukan anaknya yang ke-4, yang masih berumur setahun lebih. Kami katakan dia mengandung dan pintu rahim dah buka, termenung jauh dia tak percaya. Dia kata tak rasa apa-apa perbezaan pun. Malah semua ahli keluarganya tak perasan apa-apa kerana dia masih boleh memakai seluar jeansnya.
Malam itu pun dia melahirkan anak perempuannya yang ke 5. Apabila diberitahu reaksi suami dan ahli keluarganya semua sama "oh, bukan lelaki?"
Jadi sekarang dia ibu kepada 5 anak perempuan. Yang semua sihat dan sempurna. Tanpa melalui pun kesusahan mengandung. Bersalin pun mudah. Rezeki dia.
Semalam pula saya mendapat berita lain. Seorang staf yang sedang mengandung 30 minggu baru dikesan yang anaknya itu tiada sebahagian besar dari otaknya (anencephaly). Keadaan ini tidak compatible untuk hidup. Mungkin hidup sehari dua sahaja. Sedihnya. Baby itu pula baby lelaki, anak ketiganya setelah ada 2 anak perempuan. Tentu bayi yang sangat ditunggu. Semoga dia dapat bersabar.
Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Atau Dia mengurniakan kedua-duanya anak-anak lelaki dan perempuan dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.(As-Syura 49-50)
Memang tiada janji siapa yang hidup pasti membesar, pasti berkahwin, pasti ada anak, pasti ada anak lelaki dan perempuan. JanjiNya cuma yang hidup pasti mati.
Siapa yang ada anak pula, adakah anaknya itu aset ke syurga atau tidak? Setiap kali saya lihat video ini (dah berulang kali saya tengok, setiap kali bila hati tension rasa nak marah budak-budak heheh), saya akan terfikir siapakah antara Adam, Ammar atau Abid yang akan imamkan solat jenazah saya dan suami?