Friday, 11 February 2011

Jejak Nabi Musa (as)- Part 2

Selepas seminggu di Kaherah, kami berpeluang melawat Semenanjung Sinai. Saya kata berpeluang kerana ia tiada dalam perancangan (perancangan belanjawan). Semua ayah Papaboyz tanggung :D. Kalau tidak memang tiada rezeki kami. Semasa merancang aktiviti ke Mesir saya ada mengira-ngira cukupkah kalau melencong ke Tanah Suci? Tapi rupa-rupanya rezeki kami bukan ke Tanah Suci tetapi Lembah Suci. Di manakah Lembah Suci itu?

Tak apa, kita cerita hal siangnya dulu. Dari Kaherah kami melintasi Terusan Suez dan melintas padang pasir untuk ke Taba'.


Gambar diambil dari sini.

Di Taba' kami berdiri di persisiran Teluk Aqabah melihat sempadan Israel dan Jordan. Singgah sekejap sahaja. Tapi sempat juga mendapat 3 pesanan teks dalam telefon bimbit dari syarikat telekomunikasi- 'Welcome to Israel, Welcome to Jordan, Welcome to Saudi Arabia'. Meriah.

Indahnya Teluk Aqabah..

Apa signifikannya Teluk Aqabah?

Kemungkinan Teluk Aqabah adalah tempat Nabi Musa (as) membelah laut untuk menyelamatkan kaumnya dari Firaun. Tiada bukti sahih di mana lokasi sebenar kejadian hebat itu, walaupun ada teori mengatakan di sekitar Nuweiba (lihat peta) kerana penemuan artifak ribuan tahun di dasarnya (wallahualam). Teluk Aqabah juga kemungkinan tempatnya Nabi Musa (as) bertemu Nabi Khidir (as), nabi yang lebih banyak ilmu darinya.

Yang penting, bukan lokasinya, tapi iktibar kejadiannya. Kita selalu mengaitkan kejadian membelah laut itu dengan mukjizat hebat Nabi Musa (as). Tapi ketika berhadapan dengan lautan luas (kemungkinan mati) dengan tentera Firaun di belakang (juga kemungkinan mati), apakah perasaan kaum Nabi Musa (as)? Apakah pula perasaan Nabi Musa (as)? Ia dua perkara yang bertentangan.

Bani Israel         : Sesungguhnya kita akan dapat ditawan!
Nabi Musa (as) : Sekali-kali tidak! Sesungguhnya Tuhanku besertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku.


(Dialog dari Al-Quran, 26:61-62)

Di kala bertemu jalan buntu, dikelilingi pula aura negatif dari kaumnya, Nabi Musa (as) masih teguh tawakalnya.

Mengenai pertemuan dengan Nabi Khidir (as) pula, sangat banyak hikmahnya. Baca banyak kali pun, setiap kali tentu akan terjumpa hikmah yang baru. Tetapi ia kisah yang menunjukkan macammana tinggi kita belajar pun, berapa banyak ilmu yang kita ada pun, ada orang lain yang lebih pandai dari kita, dan kita tak akan bersabar dengan sesuatu yang tidak kita ketahui.

Saat mereka didalam perahu yang ditumpangi, datanglah seekor burung lalu hinggap di hujung perahu itu. Burung itu meneguk air dengan paruhnya, lalu Nabi Khidir berkata, “Ilmuku dan ilmumu jika berbanding dengan ilmu Allah, adalah seperti air yang diteguk burung itu dari lautan yang luas ini." (Sahih Bukhari)

Dan, ilmuku dan ilmu-mu, tidak setitik pun dari ilmu kedua-dua manusia hebat itu.

p/s- Lembah Suci dalam Part 3 ok..

2 comments:

Wan Sharif said...

Mm.. Lama tak bertandang ke sini.. Alhamdulillah nampaknya entry saperti biasa.. mantap..
Semuga rahmat dan magfirah Allah bersama Drwati sekeluarga sokmo

Mamaboyz said...

terima kasih Ayoh Wang kerana selalu mendoakan saya.. sobsob..